Thursday, March 14, 2013

AM DAN KHAS


PENGENALAN

Dalam kitab suci al-Quran, terdapat banyak kaedah bersifat bahasa yang berkaitan dengan usul al-ahkam dan lafaz metodologinya.Ia berkaitan dengan lafaz-lafaz nas serta sudut kedudukan atau keadaanna terhadap makna. Dalam bab ini juga, kita akan membincangkan mengenai dua bentuk lafaz yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah.
            Kedua bentuk ini mempunyai perbezaan dari segi dalalahnya. Melalui bab ini, dipekenalkan dengan dua istilah tersebut iaitu istilah al-‘am dan al-khas. Antara lain, ia merupakan perbahasan lafaz yang di tinjau dari sudut cakupan terhadap lafaznya iaitu al-‘am dan al-khas dan merupakan salah satu kaedah pengambilan hukum.
Al-‘am lafaz yang datang dalam bentuk umum yang merangkumi semua afrad yang terdapat di dalam sesuatu lafaz. Al-Khas pula ialah lafaz khusus yang diperuntukkan untuk makna-makna tertentu yang khusus. Sebahagian dari lafaz-lafazal-‘am ini dikhususkan maknanya dengan lafaz-lafaz al-khas. Proses ini dinamakan takhsis. Namun, tidak semua lafaz al-‘am boleh ditakhsiskan dengan lafaz al-khas.
            Maksud kaedah pengambilan hukum disini ialah kaedah pengambilan hukum daripada dalil syarak yang asasi iaitu al-Quran dan hadis dibawa ke dalam lafaz yang pelbagai. Maka, untuk mengeluarkan hukum mestilah memahami dengan betul setiap lafaznya sama ada dari segi ‘Am, khas, mushtarak atau sebagainya.



PENGERTIAN AL-‘AM
Al-‘Am adalah lafaz yang diperuntukkan sebanyak sekali,dan hanya sekali peruntukkan menunjukkan kepada beberapa perkara yang banyak dan tidak ada batasan secara meliputi kesemua maknanya yang sesuai baginya. Al-Raziyy juga mentakrifkan al-‘am sebagai lafazyang meliputi keseluruhan makna yang sesuai dengannya berdasarkan satu peruntukan.
اللفظ المستغرق  ما يصلح بحسب وضع واحد
Perkataan المستغرق- ‘yang meliputi’ di masukkan ke dalam takrif ini untuk memgeluarkan lafaz dalam bentuk jamak yang nakirah dari pengertian al-‘am. Apabila dikatakan طلابجائ – ‘pelajar-pelajar datang kepada aku’, ia tidak bermaksud semua pelajar datang kepada ia juga digunakan untuk mengeluarkan lafaz yang mutlak seperti الرجل kerana ia tidak meliputi semua lelaki.
            Perkataan يصلحما ‘yang bersesuaian’, untuk membezakannya dengan perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam pengertian sesuatu lafaz. Umpamanya perkataan زيدأولاد-‘anak-anak Zayd’ tidak meliputi anak-anak orang lain. Namun ini tidak mengeluarkan perkataan tersebut daripada kategori al-‘am kerana anak-anak orang lain memang tidak sesuai dengan pengertian أولاد زيد.perkataanواحدبوضع –dengan sekali peruntukan ialah membezakan lafaz al-al-‘am daripada lafaz al-mushtarak ( المشترك) kerana ia diperuntukkan kepada bebrapa makna dengan beberapa peruntukan seperti perkataan العين” .

LAFAZ-LAFAZ AL-‘AM
Al-‘Am mempunyai banyak sighah yang diperuntukkan untuknya, antaranya adalah seperti berikut:
a)      Lafaz-lafaz jamak seperti lafaz :  "كلdan جميع
Begitu juga dengan lafaz  معاشر, معشر, كافة, عامة dan seumpamanya. Lafaz كلdanجميع kedua-duanya memberi faedah umum perkara yang disandar kepadanya. Contohnya firman Allah Ta’ala:
كل ٱمرئۭ بما كسب رهين
Maksudnya: “setiap manusia terikat dengan amalan yang dikerjakannya”.
(Surah Al-Tur : 52 : 21)

Dan seperti dikatakanجميع من يأتيني أكرمه maksudnya, kesemua mereka yang datang kepada saya hendaklah engkau memuliakannya.ini membawa maksud secara umum iaitu setiap yang datang haruslah di muliakan dan tidak dikecualikan seorang pun daripada mereka.

b)     Jamak yang dima’rifahkan dengan ال الاستغراقية

Firman Allah Taa’la:
والولدت يرضعن أو لدهن حولين كاملين
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Surah Al-Baqarah : 2 : 233)

Dan firman Allah Taa’la:
والمطلقت يتربصن بأنفسهن ثلثة قروء
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahannya diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)”.
(Surah Al-Baqarah : 2 : 228)





Lafaz الوالداتdanالمطلقات kedua-duanya adalah jamak yang dima’rifahkan denganالاستغراقية. Oleh itu, setiap ibu dan isteri harus mematuhi hukum syarak yang ditaklifkan ke atas mereka secara umum. Begitu juga, ibu wajib menyusukan anak mereka selama dua tahun penuh dan setiap isteri yang diceraikan wajib menahan diri (dari berkahwin) selama tiga kali (suci/haid)


c)      Jamak yang di mak’rifahkan dengan idafah

Firman Allah Ta’ala:
خذ من امولهم صدقة تطهرهم وتزكهم بها وصل عليهم
Maksudnya: “ambillah sebahagian harta mereka sebagai sedekah(zakat).
(Surah Al—Taubah : 9 : 103)

Dan firman Allah Ta’ala:
يوصيكم الله فى اولد كم للذكر مثل حظ الأنثيين
Maksudnya: “Allah perintahkan kamu mengenai pembahagian pusaka untuk anak-anak kamu iaitu bahagian seseorang anak lelaki yang menyamai bahagian dua orang anak perempuan”.
(Surah Al-Nisa’ : 4 : 11)

Lafaz  أموالهمdanأولادكمkedua-duanya adalah jamak yang dima’rifahkan dengan idafah.


d)     Lafaz mufrad yang dimakrifahkan dengan الاستغراقية

Firman Allah Ta’ala:
والعصر(١) ٳن الٳنسن لفى خسر (٢ ) ٳلا الذين ءامنوا وعملوا الصلحت وتواصوا بالحق وتواصوبالصبر(٣)

Maksudnya: “ demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-‘Asr : 103 : 1-3)

Lafaz al-insan adalah’am kerana ia mufrad yang di ma’rifahkan denganال الاستقراقية. Namun begitu, walaupun lafaz tersebut dalam bentuk mufrad tetapi ia menunjukkan secara umum iaitu semua manusia berada dalam kerugian.


e)      Lafaz mufrad yang dimakrifahkan dengan Idafah

Firman Allah Ta’ala:
وٳن تعدوا نعمت الله لا تحصوهآۚ
Maksudnya: “dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya”.
 (Surah Ibrahim : 14: 34)

Antara contoh yang lain ialah melalui sabda Rasullulah pula berbunyi:
هو الطهور ماؤه الحل  ميتته
Maksudnya: “Ia (laut) suci airnya,halal bangkainya.

Lafaz ماؤه , نعمت اللهdan ميتته ketiga-tiganya ‘am kerana ia mufrad di ma’rifahkan dengan idafah.


f)       Ism-ism mawsulah

Firman Allah Ta’ala:
ٳن ٱلذين يٲكلون ٲمو ل ٱليتمى ظلما ٳنما يٲكلون فى بطونهم ناراۖ وسيصلون سعيرا
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang yang makan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala”.
(Surah Al-Nisa’ : 4 : 10)

Lafaz  الذينam kerana ia merupakan isim mausul

Firman Allah Ta’ala:
وٲحل لكم ماورآء ذلكم
Maksudnya: “Dan halalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu”
(Surah Al-Nisa’ : 4 : 24)

Lafaz ماadalah ‘am kerana ia adalah isim Mausul.


g)      Ism-ism Istifham

Firman Allah Ta’ala:
مّن ذا ٱلّذى يقرض ٱلله قرضا حسنا
Maksudnya: “Siapakah orang yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik?”
(Surah Al-Baqarah : 2 : 245)
Lafaz  من ذاadalah ‘am kerana ia isim istifham.


Firman Allah Ta’ala:
متى نصر اللهۖ
Maksudnya: “Bilakah pertolongan Allah?”
(Surah Al-Baqarah : 2 : 214)
Lafazمتيadalah ‘am kerana ia isim istifham.


h)     Isim-isim Shart


Lafaz منadalah ‘am kerana ia adalah isim shart.

Firman Allah Ta’ala:
وما تفعلوا من خير يعلمه اللهۖ
Maksudnya: “Dan apa-apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui Allah”
(Surah Al-Baqarah :2 : 197)

Lafaz ماadalah ‘am kerana ia adalah isim Shart.

Firman Allah Ta’ala:
ٲينما تكونوا يدر ككم الموت ولو كنتم فى بروج مشيدةۖ
Maksudnya: “di mana-mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu(bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”.
(Surah Al-Nisa’ : 4 : 78)
Lafazماadalah ‘am kerana ia adalahisim shart.


                                i.            Nakirah yang datang dalam bentuk Nafi atau Nahi

Sabda Rasulullah S.A.W:
 لوارثلاوصية
Maksudnya : “Tiada sah wasiat kepada waris”

Firman Allah Ta’ala:
ولا تصل علۍ ٲحد منهم مات ٲبدا ولاتقم على قبره ےۖ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sembahyangkan seorang pun yang mati dari kalangan mereka(orang-orang munafik) itu selamanya.”
(Surah Al-Taubah : 9 : 84)

Lafaz  أحدadalah ‘am kerana ia nakirah yang datang dalam bentuk nahi (larangan). Oleh itu, Allah melarang setiap seorang daripada orang Islam menyembahyangkan jenazah mereka yang dari golongan munafik.Lafaz  لاوصيةjuga adalah ‘am dalam bentuk nafi yang menunjukkan bahawa tidak sah berwasiat kepada ahli waris.

DALALAH AL-‘AM
Secara umumnya, dalalah ‘am boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu umumsecara qat’i, dan khusus secara qat’i dan mutlak. ‘Am yang bermaksud umum secaraقطعي iaitu al-‘am yang terdapat qarinah (petunjuk) yang munafikan pengkhususannya (takhsis).

Firman Allah Ta’ala:
وما من دآبة فى الأرض ٳلاعلى الله رزقها ويعلم مستقرها ومستودعهاۚۚ كل فى كتب مبين
Maksudnya : Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia di simpan. Semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)
(Surah Hud :11 :6 )

Ayat ini menetapkan sunnatulah yang tidak menerima perubahan, maka ayat ini kekal bersifat umum dan ia merangkumi kesemua maknaya (afradnya) secara berterusan dan berkekalan.
            Am yang bermaksud khusus secaraقطعي iaitual-‘Am yang disertakan dengan qarinah (petunjuk) yang menafikan ia berterusan dalam keadaan umum.

Firman Allah Ta’ala:
ولله على الناس حج البيت من استطاع ٳليه سبيلاۚۚ
Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji  dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadaNya.
(Surah Al-Imran : 3 : 97)

Firman Allah Ta’ala  من استطاع menunjukkan bahawayang dikehendaki dengan ‘am iaitu الناسialah mereka yang mampu, maka tidaklah merangkumi mereka yang tidak mampu,kanak-kanak dan orang-orang gila pada peringkat permulaan lagi.

            ‘Am mutlak merupakan lafaz ‘am yang tidak mempunyai tanda ataudalil yang boleh mengkhususkannya. Am’ mutlak boleh di bahagikan kepada dua iaitu qat’idan zanni.Am’mutlak secara qat’i dapat dilihat pada firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya."
Lafaz مما dalam ayat di atas adalah ‘am yang mutlak secara qat’i kerana ia menunjukkan setiap yang tidak disebut nama Allah haram di makan. Namun begitu,am mutlak secara zanni dapat dilihat berdasarkan sabda Baginda S.A.W:

 المسلم حلال ذكر اسم الله او لم يذكرذبيحة
Maksudnya: “sembelihan muslim halal sama ada menyebut nama Allah atau tidak.”

Berdasarkan hadis ahad di atas, dapat dilihat bahawa ia telah mengkhususkan ayat al-Quran sebelumnya yang mana berdasarkan hadis tersebut sembelihan muslim adalah halal dimakan walaupun tidak menyebut nama Allah.


PENGERTIAN AL-KHAS
Dari segi bahasa al-khas membawa maksud yang tertentu. Manakala dari segi istilah pula al-khas membawa maksud sebagai suatu lafaz yang digunakan untuk menunjukkan pengertian dan maksud yang khusus terhadap individu seperti nama orang. Contohnya, Muhammad atau Ali. Selain itu, ia juga menunjukkan khas terhadap sesuatu jenis.Sebagai contoh, manusia. Antara lafaz lain ialah lafaz yang menunjukkan terhadap sesuatu bahagian seperti lelaki dan perempuan. Ia juga merangkumi lafaz bilangan seperti sepuluh, dua puluh dan sebagainya.

Firman Allah:
فكفرتهاطعامعشرةمسكين
Maksudnya: “Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin.”
(Surah Al-Maidah 5 : 89)




Ayat di atas menunjukkan bahawa salah satu cara membayar kaffarah ialah dengan memberi makan sepuluh orang miskin. Oleh itu, lafaz sepuluh dalam ayat di atas ialah pasti dan khas iaitu tidak kurang dan tidak lebih.Ia juga membawa maksud lafaz yang menunjukkan makna secara qat’i dan tidak ada kemungkinan makna yang lain.

Selain itu, lafaz khas juga ialah lafaz yang diperuntukkan bagi menunjukkan satu makna secara berasingan, sama ada dalam bentuk orang seperti rajulun atau menunjukkan makna yang banyak dan dapat dikira seperti thalathah (tiga) dan mi’ah (seratus).
Di dalam bahagian khas terdapat satu proses yang digunakan bagi mengkhususkan sesuatu hukum daripada dalil-dalil yang berbentuk umum. Proses ini dinamakan takhsis.


PENGERTIAN TAKHSIS

Takhsis membawa maksud mengkhususkan. Ini menunjukkan bahawa takhsis ialah mengeluarkan sebahagian daripada lafaz-lafaz am berdasarkan dalil. Oleh itu, lafaz am yang telah ditakhsiskan akan membawa maksud yang khusus.

Takhsis dapat dilihat banyak berlaku dalam al-Quran. Umpamanya mengkhususkan lafaz "الناس"  hanya kepada manusia yang mukallaf dan tidak kepada kanak-kanak mahupun orang gila.
Firman Allah:
ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali-Imran 3 : 97)

Berdasarkan ayat di atas Allah telah mewajibkan ke atas setiap manusia untuk mengerjakan ibadat haji. Namun kewajipan ini telah dikhususkan kepada mereka yang mempunyai keahlian sahaja dan ia tidak diwajibkan kepada kanak-kanak dan orang gila.
Jumhur ulama mengakui keharusan berlakunya takhsis terhadap hukum al-‘am dengan dalil-dalil lain. Namun begitu, mereka berbeza pendapat tentang dalil-dalil yang boleh mentakhsis, sama ada ia berasingan dari lafaz am atau tidak berasingan dan sama ada ia bersambung dengannya atau terpisah darinya.
Menurut kebanyakan ulama selain Mazhab Hanafi, takhsis adalah harus sama ada oleh dalil yang berasinagn atau tidak berasingan dan sama ada ia bersambung dengannya atau terpisah darinya selagi kewujudannya tidak lewat dari waktu beramal. Terdapat pelbagai bentuk takhsis menurut jumhur ulama. Secara umumnya ia bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pentakhsis yang berasingan "مخصصمستقل"  dan pentakhsis yang tidak berasingan"مخصصغيرمستقل" .


PEMBAHAGIAN MUKHASSIS

Mukhassis membawa maksud mengecilkan skop atau maksud lafaz al’am tersebut.Mukhassis boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
1.         Mukhassis Muttasil iaitu mukhassis yang tidak berasingan daripada lafaz am
2.         Mukhassis Munfasil iaitu mukhassis yang berasingan daripada lafaz am

Mukhassis Muttasil

Mukhassis Muttasil juga dikenali sebagai pentakhsis yang tidak berasingan. Pentakhsis yang tidak berasingan atau dikenali sebagai "مخصصغيرمستقل" membawa maksud dalil yang merupakan sebahagian daripada ungkapan yang mengandungi lafaz am. Ia terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah:

1.         Istithna’ muttasil  (استثنأمتصل). Misalnya, Allah berfirman:

ان الانسن لفي خسر ( 2 ) الا الذين ءامنوا وعملوا الصلحت وتواصوا بالحق وتوصوا بالصبر ( 3 )
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia berada dalam mkerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”
(Surah Al-‘Asr 103 : 3)

Lafaz "انسان" iaitu manusia adalah umum meliputi semua manusia berada dalam kerugian, tetapi lafaz istihna’ iaitu "الا" di sini mengeluarkan mereka yang mengerjakan amal kebajikan dan berpesan untuk kebenaran dari lafaz umum "انسان".


2.         Shart “شرط”, contohnya Allah berfirman:

ولكم نصف  ماترك أزوجكم ان لم يكن لهن ولد
Maksudnya: “Dan bagi kamu (wahai para suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak.”
(Surah An-Nisa’ 4 : 12)

Berdasarkan ayat di atas telah dikhususkan bahawa suami hanya akan memperoleh setengah daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri sekiranya dia tidak mempunyai anak. Ketiadaan anak dalam lafaz di atas menjadi syarat bagi membolehkan suami mendapat sebahagian daripada harta isterinya.



3.         Sifat ( (صفة firman Allah:

ومن لم يستطع منكم طولا أن ينكح المحصنت المؤمنت فمن ما ملكت أيمنكم من فتيتكم المؤمنت
Maksudnya: "Dan siapa diantara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatan) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan hamba yang beriman yang kamu miliki."
)Surah An-Nisa’ 4 : 25(

Lafaz   "فتياتكم"yang terkandung pada ayat 25 surah Al-Nisa’ di atas ialah ‘am merangkumi hamba yang beriman atau kafir, tetapi apabila disifatkan dengan المؤمنات"" maka ia terbatas kepada hamba-hamba perempuan yang beriman sahaja.


4.         Ghayahغاية ), sepertimana firman Allah:

يأيها الذين ءامنوا اذا قمتم الى الصلوة  فاغسلوا وجوهكم وأيديكم الى المرافق
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua tangan kamu meliputi siku.”
(Surah Al-Maidah 5 : 6)

Lafaz "أيديكم" meliputi seluruh tangan tetapi lafaz "المرافق" adalah ghayah yang membataskan tangan menurut pengertian yang umum kepada had siku.



Mukhassis Munfasil
Mukhassis Munfasil juga dikenali sebagai pentakhsis yang berasingan. Pentakhsis yang berasingan atau dikenali sebagai "مخصصمستقل" bermaksud dalil yang bukan merupakan sebahagian daripada lafaz am. Ia terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah

1.         Akal "عقل" seperti yang terdapat dalam nas-nas yang mengandungi perintah taklif misalnya firman Allah:

ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali-Imran 3 : 97)

Walaupun perintah di dalam ayat ini berbentuk umum, tetapi akal mengkhususkan mereka yang tidak mempunyai keahlian seperti kanak-kanak dan orang gila tidak termasuk dalam golongan yang diperintah untuk mengerjakan haji.


2.         ‘Uruf (adat dan kebiasaan), sepertimana firman Allah:

والولدت يرضعن أولدهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama 2 tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah Al-Baqarah 2 : 233)

‘Uruf kadang kala boleh mentakhsiskan nas-nas yang umum. Maka nas-nas yang umum akan ditakhsiskan berdasarkan ‘uruf. Oleh itu, ibu-ibu tidak diwajibkan menyusukan anak mereka kerana sudah menjadi kebiasaan (‘uruf) nagi golongan bangsawan tidak menyusukan anak mereka.

3.         Al-Hiss atau al-mushadah (pancaindera) seperti firman Allah:

تدمر كل شىء بأمر ربها فأصبحوا لايرى الا مسكنهم
Maksudnya: “Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya, sehingga mereka (kaum ‘ad)menjadi tidak tampak lagi (di bumi) kecuali hanya (bekas-bekas) tempat tinggal mereka.”
(Surah Al-Ahqaf 46 : 25)

Perkataan ( كل ) dalam ayat ke 25 surah Al-Ahqaf di atas ini adalah umum. Namun kita masih banyak benda yang wujud sehingga sekarang. Oleh itum kita mengkhususkan perkataan ( كل ) dalam ayat tersebut kepada beberapa perkara yang tidak termasuk setiap yang kita lihat

KESIMPULAN
           
Kesimpulannya al-‘am adalah sesuatu yang membawa maksud yang luas tanpa dibataskan dengan sesuatu. Oleh itu, al-khas berperanan bagi mengecilkan maksud al-‘am yang luas tersebut. Hal ini demikian kerana jika dilihat dari maksud keduanya sahaja kita sudah boleh mengetahui maksud dan perbezaan yang terdapat padanya.
           
Perkara ini terjadi kerana maksud al-‘am itu sendiri ialah lafaz yang diperuntukkan sebanyak sekali, dan hanya dengan sekali peruntukan menunjukkan kepada beberapa perkara yang banyak dan tidak ada batasan secara meliputi kesemua maknanya yang sesuai baginya. Hal ini menunjukkan al-‘am ialah sesuatu yang berbentuk umum dan ia tidak dikhususkan kepada apa-apa maksud yang tersirat.
           
Hal ini adalah berbeza dengan al-khas.Hal ini demikian kerana al-khas itu merupaka sesuatu yang telah dikhususkan kepadanya. Ianya dapat dilihat daripada maksud al-khas itu sendiri iaitu lafaz yang digunakan untuk menunjukkan pengertian dan maksud yang khusus terhadap individu seperti nama orang. Oleh itu, al-khas merupakan sesuatu yang telah dikecilkan penggunaannya bagi menunjukkan kepada makna-makna tertentu.
            Melalui perbincangan di atas, dapat dilihat bagaimana penggunaan al-‘am dan al-khas di dalam al-Quran. Melalui penggunaan al-‘am dan al-khas, dapat melihat dan mengetahui serba sedikit bagaimana terbitnya sesuatu hukum dan dapat difahami bahawa al-‘am dan al-khas merupkan salah satu daripada kaedah pengambilan hukum.